Langkah kerajaan untuk menurunkan harga
kereta secara berperingkat sebagai memenuhi aku janji dalam Pilihan Raya
Umum Ke-13 mula menampakkan hasilnya apabila 10 buah model kereta telah
mencatatkan penurunan.
Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, beberapa model kereta daripada
jenama Peugeot, Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda masing-masing
telah menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama.
Petanda awal positif ini jelas menunjukkan hasrat kerajaan menurunkan
harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus secara berperingkat sehingga
2017 bukan satu omongan kosong seperti yang digembar-gemburkan oleh
sesetengah pihak.
Sepuluh model yang telah menurunkan tanda harganya di pasaran setakat
ini ialah Peugeot 308 (11 peratus), Volkswagen Golf (7.1%), Viva (5.4%),
Myvi (4%), Persona (3.8%), Alza (3.4%), Preve (3%), Honda Jazz Hibrid
(2.5%), Saga (1.1%) dan Exora (0.7%).
Pelan penurunan harga itu dilaksanakan dengan memberikan pengurangan
duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang
menggunakan lebih banyak komponen tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad
Madani Sahari berkata, cara itu adalah lebih baik daripada memberikan
pengurangan duti eksais sekali gus atau secara mendadak.
Katanya, walaupun duti eksais sekarang berada di tahap sekitar 65 hingga
105 peratus, tetapi pada hakikatnya, jumlah duti eksais yang dibayar
oleh pengeluar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) hanyalah sekitar 40
hingga 50 peratus.
Menurutnya, pengeluar kenderaan CKD telah membuat aktiviti tambah nilai
kepada komponen tempatan dan mereka layak mendapat pengurangan duti.
“Bagi kenderaan jenis diimport sepenuhnya (CBU) dari negara yang
mempunyai FTA dengan Malaysia, import duti juga telah dikurangkan.
“Sebagai contoh kenderaan CBU dari negara-negara ASEAN telah pun
menikmati insentif bebas duti import bermula 2010 lagi, manakala CBU
dari Jepun dan Australia juga menikmati insentif sama secara
berperingkat hingga 2016,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Madani berkata, kaedah pengurangan lain yang dirancang kerajaan adalah
melalui liberalisasi industri automotif tempatan dan kaedah tekanan
pasaran.
“Dari semasa ke semasa, pengeluar kenderaan, vendor bersama dengan
kerajaan akan membuat inisiatif untuk memperkasakan daya saing sektor
automotif untuk membantu mengurangkan kos operasi, sekali gus
mempengaruhi harga akhir produk,” jelasnya.
Beliau berkata, penurunan harga kereta di negara ini telah dilakukan
tetapi kurang dirasai rakyat kerana mereka mengharapkan penurunan yang
drastik dan mungkin beranggapan harga kereta tempatan boleh menjadi
setara dengan harga di Thailand.
Katanya, kerajaan telah menerangkan bahawa penurunan harga kereta
mestilah dibuat secara berjadual dalam masa lima tahun kerana perlu
melindungi nasib rakyat yang telah memiliki kereta.
“Ini penting, penurunan terlalu tinggi memberi impak negatif terhadap
harga kenderaan terpakai, kereta yang masih lagi berhutang dengan pihak
bank, industri kereta terpakai, institusi perbankan dan pihak lain yang
terlibat secara langsung.
“Penurunan secara drastik juga akan merugikan semua orang terutamanya
orang awam yang telah mempunyai kenderaan dan mereka akan mendapat
tamparan hebat kerana harga kenderaan mereka akan mengalami penyusutan
harga yang teruk.
“Bagi pengguna yang masih berhutang dengan bank, sudah semestinya jumlah
hutang mereka akan melebihi nilai kereta disebabkan susut nilai pasaran
semasa. Situasi ini tidak baik untuk ekonomi negara,” jelasnya.
Ditanya, apakah faktor yang menyebabkan rakyat tidak merasai penurunan
harga kereta, beliau menjelaskan setiap pengeluar kenderaan mempunyai
strategi pemasaran yang berasingan.
“Pada permulaannya, kebanyakan pengeluar membuat penurunan melalui rebat
dan promosi tetapi setengah pengeluar telah mengurangkan harga kereta
secara mutlak.
“Harga kereta dan penurunannya adalah tanggungjawab pengeluar
kenderaan,” tegasnya sambil menerangkan peranan kerajaan adalah merangka
dasar yang memberi pulangan yang baik kepada semua pihak.