KUALA LUMPUR 21 Jun – Wanita yang
ditangkap khalwat bersama pelakon Shahrizal Jaszle, 25, tidak akan
menarik balik semua kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Farah
itu berkata, apa yang diperkatakannya sebelum ini adalah kebenaran dan
hanya Shahrizal sahaja yang suka menafi.
Menurut Farah, dia amat menyesal dengan
apa yang terjadi dan menyedari kesilapan yang telah dilakukan, namun
sedih apabila Shahrizal tidak berani mengaku kebenaran.
“Saya tahu ramai yang memandang serong pada saya apabila tampil membuat pengakuan bahawa saya adalah pasangan khalwat dia.
“Pengakuan itu bukan kerana saya bangga
dengan apa yang berlaku tetapi sekadar ingin menegakkan kebenaran. Jika
saya tidak tampil menceritakan perkara sebenar, entah apa lagi cerita
yang tidak benar diuar-uarkan oleh dia (Shahrizal),” katanya ketika
dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Kata Farah, dia telahpun memohon maaf
atas apa yang berlaku secara khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada
keluarga Shahrizal dan Redzwani Puteri kerana tidak berkesempatan untuk bertemu.
“Saya juga telah memohon maaf kepada
keluarga dan amat berterima kasih kerana mereka tidak meminggirkan saya
tetapi banyak memberi nasihat.
“Apa yang saya kesalkan adalah sikap dia
(Shahrizal) yang terus-terusan mencanangkan berita yang tidak benar.
Bila bersemuka dan saya tanya dia tidak boleh jawab, tetapi apabila di
hadapan wartawan, lain pula ceritanya,” katanya terus terang.
Jelas Farah, gara-gara pelakon drama
bersiri Iman Nabila ‘menyerang’nya di pejabat baru-baru ini, dia diarah
berhenti kerja dalam tempoh 24 jam.
“Sekarang ini saya sangat tertekan dan
sedih kerana kehilangan pekerjaan gara-gara dia. Mengikut perancangan
awal, kami patut bertemu di tempat lain, tapi tiba-tiba dia datang
dengan krew TV ke pejabat.
“Saya sudah tidak ada punca pendapatan
untuk membantu keluarga. Saya terpaksa mencari pekerjaan baharu.
Walaupun kesal dengan apa yang berlaku namun saya bersyukur kerana tahu
siapa dia sebenarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd