PETALING JAYA: Seorang pelakon baharu yang mendakwa dicabul oleh
seorang pengarah drama pada minggu lalu berasa lega apabila individu itu
ditahan polis pada Rabu lalu bagi membantu siasatan.
Pelakon yang mahu dikenali sebagai Ffarrah Ismail, 23, berkata, dia
menganggap maruahnya terbela dengan penahanan itu dan berharap kes cabul
tersebut dapat dilaksanakan seadil mungkin agar menjadi pengajaran
kepada semua pihak.
"Apabila mendapat tahu dia ditahan, saya rasa maruah saya akhirnya
terbela selepas beberapa bulan saya simpan rahsia ini kerana terlalu
takut. Sekarang ini ia sudah pun menjadi kes polis dan kita tunggu
sahaja apa akan berlaku," katanya.
Ffarrah ditemui pada sidang media khas anjuran Persatuan Karyawan
Malaysia (Karyawan) yang ingin membela nasib pelakon baharu itu di Plaza
Damansara, di sini, Khamis.
Bagaimanapun wanita ini memohon agar wajahnya dikaburkan semata-mata ingin mengelak daripada menjadi perhatian ramai.
Turut hadir Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Pada 17 Jun dan 23 Jun lalu, Ffarrah telah membuat laporan masing-masing
di Balai Polis Mutiara Damansara di sini dan Tampin, Negeri Sembilan
dengan mendakwa seorang pengarah drama berusia 60-an yang memegang
jawatan dalam sebuah persatuan seni telah mencabulnya ketika di lokasi
penggambaran.
Dalam penggambaran yang dijalankan awal bulan Januari lalu di Tampin
itu, Ffarrah mendakwa telah dicabul beberapa kali dan turut dipaksa
menjadi pembantu peribadi pengarah itu bagi memudahkan dia mengambil
kesempatan.
Tambah Ffarrah, dia tidak menyangka banyak cabaran yang perlu dilaluinya untuk bergelar seorang pelakon.
Sementara Freddie berkata, pihaknya akan membantu Ffarah dalam
memastikan dia tidak membuat sebarang tindakan melulu selain akan
memberi pandangan daripada aspek perundangan untuk kes tersebut.
"Sebagai persatuan yang membantu artis-artis negara ini, pihak kami
ingin menolong Ffarrah dalam menyelesaikan masalahnya dengan
menghulurkan bantuan guaman selain memberikan khidmat nasihat
kepadanya," kata Freddie.
Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan seorang pengarah drama telah
ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes cabul selepas
mendapat laporan daripada pelakon baharu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata,
pengarah tersebut ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah itu
bagi membantu siasatan berhubung laporan berkenaan.
Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.